Dengan sukacitanya, saya umumkan penyertaan Puan Suria Kelang, bertajuk "Abang" sebagai pemenang hadiah RM2608 yang telah di sediakan.
Abang
1994. Ramadhan baru sehari bermula… Aku berada di Pasir Gudang, menziarah kakakku yang tidak sihat. Kebetulan kami sedang bercuti.
Kak Wie menyampaikan berita yang Abangku juga tidak sihat di kampong. Dah dua minggu dia demam. Tiga kali dah pergi kli
nik, masih belum baik jugak.
Sedang aku menjamu sarapan pagi, Emak menaliponku.
“Ko lama lagi ke kat Johor? Abang demam tak baik-baik.
Bapak bawak dia pegi hospital Kelang, dua hari kat sana, doktor suruh bawak ke hospital Kolumpo. Kalau ko ada Gombak, ko boleh tolong tengokkan. Tak de s
apa nak nunggu dia kat sana. Kesian pulak.”
Aku beritahu suami berita itu dan kami mohon kebenaran Kak Wie untuk pulang segera ke Kuala Lumpur. Perjalanan dari
Pasir Gudang ke Kuala Lumpur yang sememangnya jauh terasa terlalu jauh.
Sampai di HKL, aku terus tuju ke wad Urology. Aku nampak dari jauh Abangku sedang duduk di atas katil di w
ad tersebut.
Dia tersenyum sebaik dia Nampak wajahku. Aku hampiri dirinya dan aku pegang tangannya.
“Abang kenapa?”
“Buah pinggang Abang
ada masalah. Doktor kat Kelang suruh datang sini jumpa pakar. Anak-anak ko mana? Mak kata ko kat umah Kak Wie?”
“Ada dalam kereta deng
an Naha. Tidor. Ni dari Pasir Gudang lah ni. Bapak mana?”.
“Abang suruh Bapak balik. Dia penat dah berhari-hari jaga Abang kat Kelang. Abang okay.
Eh, nanti ko masakkan Abang. Tak selera nak makan makanan spital ni.”
“Nanti tengahari Yah datang balik. Abang nak apa lagi? Tuala, berus gigi,
semua ada dah?”
“Dah…Ita dah bawakkan.”
“Abang rasa camana?”
“Abang pening. Ingatkan migrane biasa tu.
Abang belasah ponstan je. Tapi, tak baik-baik. Dah kebah, karang demam balik….”
“Bila yang Abang tau buah pinggang pulak?”
“Semalam kat Hospital Ke
lang. Doktor buat scan lah, test itu ini…..Dia tak sure sangat, so, dia suruh Abang datang HKL”.
“Sikit je tu…Abang rehatlah…Nanti Yah datang lagi ye?”
Dia manusia yang paling rapat denganku. Kami berbeza usia 3 tahun. Dari kecil dialah sahabatku, musuhku, Abangku dan yang paling aku sayangi. Abang ahli sukan sejak kecil. Handal bermain bolasepak, olahraga, badminton, takraw…
Aku kembali dengan makanan yang ku masak di rumah lebih kurang pukul tiga. Perjalanan jauh dari Pasir Gudang pagi tadi amat memenatkan, ditambah dengan kerenah dua anak kecilku. Tiba di hospital, yang ku lihat ialah sekujur tubuh yang longlai tidak bermaya, diikat kedua belah tangannya di besi katil, begitu juga kakinya. Percikan darah kelihatan merata-rata di lantai, di cadar, di bantal bahkan di wajah abangku.
Aku menangis serta merta. Kenapa jadi macam ni? Aku peluk Abangku yang hanya membisu. Aku panggil-panggil namanya…namun dia terus membisu.
Aku cari nurse yang bertugas. AKu marahi semua nurse yang ada.
“Kenapa ikat Abang saya macam tu? Dia bukan binatang….Lepaskan ikatan dia..lepaskan…”aku tidak peduli tentang sesiapa lagi. Sayunya hati melihat Abangku dalam keadaan itu…
“Sabar Puan…Abang Puan kena sawan tadi. Dia cabut semua wayar yang ada dan dia jadi ganas, Puan…” entah siapa yang cuba menyabarkan aku.
Aku tidak peduli. Aku buka ikatan Abangku…aku nangis dan terus menangis.
Abang masih tidak mengenaliku. Dia memandang tepat ke wajahku tanpa kata. Dia seperti orang bodoh.
“Bang…ini Yah, Bang….Kenapa Abang macam ni?”
Aku seperti orang hilang akal. Aku menangis dan berkejar ke meja nurse, cuba mencari doctor untuk ku ketahui keadaan sebenar, namun doctor tidak ku temui.
Aku tekan butang talipon dan aku panggil suamiku yang menunggu di bawah bersama anak-anak. Sambil itu mulutku tidak putus-putus beristighfar…
Sebaik suamiku naik, Doktor yang ada kemudian memaklumkan kepada kami bahawa kedua-dua buah pinggang Abangku tidak lagi berfungsi. Darah kotor sudah naik ke kepalanya dan ini menyebabkan dia diserang sawan. Perut Abangku kemudian ditebuk untuk didialisis.
Aku tidak punya pilihan selain dari menalipon keluarga di Kelang. Aku pohon pada Kak Non untuk memujuk Ita, kakak iparku untuk datang segera menemani Abang. Ita ketika itu sedang mengandung 6 bulan, dan dia punya dua anak lain seusia anak-anakku, 4 tahun dan 2 tahun…
Kak Non datang bersama Bapak, Abang Husin dan Ita. Suasana di wad seolah-olah diserang garuda. Hanya raungan dan esakan yang kedengaran. Ita tidak dapat menerima hakikat bahawa suaminya yang tegap dan gagah terbaring tidak bermaya, ditebuk di perut dan dipasang wayar sana sini. Emak di rumah menjaga anak-anak Abang.
Sejak hari itu, Ita sentiasa menemani Abang, dalam keadaan dia yang terboyot-boyot. Setiap pagi, tengahari dan petang aku akan mewajibkan diriku menziarahi Abangku. Selepas didialisis, dia kembali normal.
Seminggu kemudian, Abang pulang ke rumah. Dia jadi pendiam dan sentiasa marah-marah. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dia sakit. Abang seorang yang kuat bekerja. Tidak ada seminit pun dari masanya yang terbiar. Bila dia perlu terus berehat begitu, dia jadi resah dan membebankan. Anak-anaknya yang masih kecil tidak berani mendekatinya. Kami merahsiakan keadaan sebenar Abang dari Mak. Kami takut dia risau.
Seminggu di rumah, petang Ahad itu, Abang tiba-tiba rebah. Badannya menggigil dan menggeliat. Dia kejang seluruh badan. Dia mengeruh sekuat hati sambil kedua-dua mata hitamya naik ke atas…Oh Tuhan! Dia terkena sawan di depan Mak! Emak meraung melihat keadaan Abang. Kami tidak mampu bersuara…Kami hanya menangis dan menangis. Bapak yang datang entah dari mana mengambil air, berdoa dan menyapukan air ke seluruh muka dan badan Abang. Kejang di badannya berkurangan, dia tidak lagi menggigil dan mengeruh. Dia jadi lesu dan tertidur. Serentak itu juga, aku lihat kaun lelaki yang ada mengangkat Abang ke dalam kereta. Bapak bawa Abang ke Hospital Klang. Emak, Ita, Kak Non, Kak We, Epah, Anis dan diriku hanya menangis dan menangis.
Abang kemudiannya dirawat di Hospital Klang. Jauh untukku ziarah, namun aku gagahi juga. Setiap kali ada waktu terluang, aku akan memandu ke Kelang, biarpun panas bulan puasa dan keletihan.
Aku tidak mungkin lupakan apa yang berlaku di suatu hari….Abang menutup wajahnya dengan suratkhabar ketika aku sampai. Aku ingatkan dia tidur. Aku duduk di sisinya sambil membaca suratkhabar, lalu aku sendiri tertidur kerana kepenatan.
Ketika aku terjaga, jam sudah pukul dua, Abang masih tidak mahu membuka matanya biarpun berkali-kali aku kejutkan dia. Aku jadi merajuk. Sampai hati…jauh-jauh orang datang…aku tinggalkan dia dengan hati yang panas.
Sampai di pejabat, aku terjumpa secarik kertas suratkhabar yang terkoyak di dalam beg tanganku. Tertulis…
“Abang mintak maaf. Abang dah tak mampu nak jaga ko lagi. Dari kecik kita berdua…pegi sekolah, pegi ngaji, pergi mana-mana…. Abang dah tak mampu. Abang tak guna lagi nak jadi Abang ko… Ko jaga diri baik-baik bila Abang dah tak ada. Jangan nakal, sebab Abang tak boleh nak lawan dengan budak-bidak yang kacau ko lagi… Abang sayang sangat kat ko…”
Airmataku berjuraian. Abang yang menjadi idolaku selama ini semakin lemah….
Kesibukan dengan anak-anak memaksa aku menghadkan kekerapan menziarah Abang. Dua hari sekali aku akan memandu ke Kelang. Sementelah aku sendiri baru disahkan mengandung. Dengan alahan yang teruk, aku berdegil untuk melawat Abang biarpun Mak dan Bapak menghalang.
Seminggu di hospital, Abang pulang ke rumah. Aku dan keluarga juga pulang dan cuba bersama-sama Abang. Kali ini wajah Abang begitu bersih ku lihat. Dia tidak lagi marah-marah. Dia minta Bapak ajar dia Solat Taubat. Juga solat-solat lain.
Setiap malam Bapak dan Abang berqiamullail, kata Mak. Abang jadi seorang yang amat lemah lembut. Dia nampak jauh lebih baik dari sebelumnya. Sepanjang minggu itu aku hanya dapat berhubung dengan Abang melalui talipon. Emak kata Abang puasa setiap hari dan kalau dia larat, dia akan sama-sama bertarawih di surau dan bermoreh bersama kariah kami.
23 Ramadhan 1414H….aku pulang ke rumah Mak lagi. Aku gembira melihat Abang yang semakin merah wajahnya. Dia cukup suka melihat kami pulang. Nabilla, anak sulungku, adalah kesayangannya, bahkan Nabilla memanggilnya Ayah.
Abang tidak lekang dengan kopiahnya dan sentiasa dengan tasbih di tangan. Namun, dia juga masih suka mengusik. Anak-anaknya, Amira dan Akmal, tidak langsung mahu berenggang dengannya. Perut Ita juga semakin memboyot.
Pagi Ahad, waktu sahur, Abang muntah. Dia kelihatan menahan sakit. Mak urut badannya dengan minyak panas. Kemudian dia tertidur. Aku naik ke atas dan tidur bersama anak-anakku.
Selepas Subuh, aku dengar pintu bilikku diketuk.
“Kenapa Mak?” Aku tanya Mak.
“Naha dah bangun? Abang nak mintak Naha hantar dia ke hospital. Dada dia sakit.”
Aku gerakkan suami yang kembali tidur selepas solat, lalu dia bergegas mandi dan bersiap.
Selepas sarapan pagi, Abang kembali ke hospital dihantar oleh suamiku. Petang itu, kami semua berbuka di hospital dan Ita kembali menemani Abang di hospital.
Seminggu lagi nak Raya. Aku tidak lagi berulang ke Kelang seperti sebelum ini kerana kerja di pejabat perlu kusiapkan sebelum bercuti Raya seminggu.
Hari Selasa, Mak talipon bertanya bila nak balik. Aku kata, “Lusa Yah dah start cuti. Pagi Khamis tu Yah baliklah. Abang sihat Mak?”
“Alhamdulillah. Siang Bapak dengan Ita jaga, malam Abang Nasir gilir-gilir dengan Abang Husin.”
“Nanti kami balik, Yah boleh jaga dia dengan Ita. Naha boleh jaga malam.”
“Iyelah.”
“Anak-anak dia dah beli baju, Mak?” Baru aku teringat nak belikan anak-anak Abang baju. Anak-anakku sendiri belum ku belikan baju Raya. Cadangnya balik Kelang nanti nak shopping di Jusco saja.
“Dah. Minggu lepas masa dia kat rumah, dia bawak budak-budak tu dengan Ita pergi Kelang. Semua dah ada baju dah. Ita pun dah dapat sepasang. Dia beli sama warna dengan baju Melayu Abang.”
“Okaylah. Nanti Yah balik nanti, Yah tambahlah apa yang kurang…” balasku.
26 Ramadhan 1414H, aku rindu sungguh pada Abang. Aku gagahkan diri memandu ke Hospital Kelang tengahari itu. Pucatnya muka dia…bisik hatiku.
Dia sungguh ceria. Ita, Bapak, Kak Non dan adik-adikku ada bersamanya.
“Abang puasa tak?” tanyaku padanya.
“Camana nak puasa dengan segala macam ubat macam ni? Teruklah Abang kena ganti nanti…” jawabnya.
“Dah tu…kan sakit. Buat apa nak susahkan diri? Abang nak makan apa-apa?” tanyaku padanya.
“Taklah. Langsung tak selera. Raya nanti Abang nak makan banyak-banyak.”
Dia kelihatannya lemah walaupun mukanya tampak kemerah-merahan. Tenang dan redup wajah kesayanganku itu.
Aku pulang semula ke pejabat dan tidak sabar menanti lusa. Aku akan berpeluang menjaganya di hospital. Itu harapanku.
27 Ramadhan 1414H, aku talipon Mak memberitahu yang aku akan pulang esok pagi kerana aku sudah mula bercuti. Mak kata, “Baguslah. Doktor bagi Abang cuti seminggu Raya ni. Esok dia balik. Tadi Bapak kata dia dah segar…”
Aku berkemas apa yang patut. Anak-anak dah tidur, suamiku juga sudah lama dibuai mimpi. Namun, mataku masih belum mengantuk. Aku teruskan berkemas, mengemop lantai, menukar langsir dan melipat pakaian untuk dibawa pulang. Sedar tak sedar, jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Tiba-tiba, aku dikejutkan dengan deringan talipon….
Suara Bapak di hujung talian perlahan sekali….Aku dengar suara tangisan dan raungan…Aku tahu….
Menggigil kakiku. Aku tidak mampu berdiri lagi….Kepalaku berat dan panas. Aku terjelepuk jatuh ke lantai. Selepas beberapa ketika, aku merangkak masuk ke dalam bilik. Aku genggam tangan suamiku….”Yang…Abang dah tak ada….” Rintihku sambil ku sembamkan wajah ke dalam dadanya.
Suamiku terperanjat lantas terduduk. Dia juga tersedu-sedu menangis, sambil memujukku supaya bersabar.
Beg-beg yang sudah ku susun di bilik belakang dimasukkan ke dalam kereta. Aku langsung tidak mampu berfikir. Sedar sedar, kami sudah dalam kereta menuju ke Kelang.
Perjalanan dari Gombak ke Kelang terlalu jauh rasanya. Aku melayan perasaanku sendiri. Aku terbayang Abang sedang tersenyum, berlari dan melambai kepadaku. Aku teringat waktu aku di darjah satu, aku tertinggal bas kerana aku mengikutnya turun sewaktu sampai di sekolahnya, Sekolah Jalan Meru. Dia kemudian membawa aku ke bilik guru dan seorang guru yang baik hati menghantarku ke sekolah.
Abang juga sering melatihku lompat jauh, sehingga aku berjaya menjadi johan lompat jauh daerah Kelang sejak darjah tiga hingga tingkatan tiga. Abang sendiri olahragawan sekolah dan daerah yang amat digeruni.
Segalanya terbayang bagaikan wayang gambar di benakku. Airmataku tidak berhenti mengalir. Suamiku masih terus menggenggam tanganku, sekali-sekala mengusap kepalaku sambil sebelah lagi tangannya terus memandu.
Segala yang pernah aku lalui bersama Abang terbayang jelas di mindaku. Kami bersama-sama bermain kompang di kampong. Sama-sama belajar “Silat Cemandi Lincah” dengan Wak Surip, setiap musim kenduri kawin, kami pusing kelil
ing kampong samada bermain kompang atau bersilat pengantin. Seingatku, kami berdua jarang sekali bermasam muka.
Sewaktu kami sama-sama dewasa, kami teruskan keakraban kami. Abanglah orangnya yang membiayai persekolahanku. Abang berniaga kerepek, dan akulah penjual kerepek di kolejku. Duit jualan kerepek itulah yang membiayai pengajianku sepanjang tiga tahun di universiti.
Abang mengajar aku mengayuh basikal sewaktu aku berusia 6 tahun, dia juga mengajar aku menunggang motosikal sewaktu aku di darjah enam, walaupun kemudiannya teruk kami berdua dirotan Emak. Abang jugalah yang membayar yuran kelas memanduku, sehingga aku mendapat lessen.
Tiada apa yang aku lakukan tanpa dia. Bagaimana akan ku hadapi hari-hari yang mendatang tanpa Abang?
Sampai di rumah, suasana begitu sepi sekali. Aku lihat Bapak terperosok di sofa, Ita sedang duduk sambil membaca Yassin, Emak sedang membuai Akmal. Ku lihat juga beberapa wajah yang ku kenal, namun masing-masing sedang melayan perasaan…..
Bapak mula bercerita…
“Bapak dengan Ita jaga dia dari pagi. Dia suka sangat hari ni. Asyik cerita je. Kadang-kadang ketawa. Dia mintak nak puasa. Doktor kata, puasa lah. Masa buka, Abang Husin datang bawakkan makanan. Dia makan banyak. Lepas tu, dia solat atas katil. Lepas Bapak balik terawih dari surau hospital tu, Bapak tengok dia tengah solat terawih atas katil. Lepas tu Abang Nasir pun sampai. “
Dalam sedu, Bapak teruskan ceritanya.
“Bila Abang Nasir sampai, Abang suruh Bapak bawak Ita balik. Dia kata Ita dah penat. Siap dia pesan kat Ita “tunggu Abang esok. Pagi esok Abang balik. Kita Raya sama-sama”.
“Bapak pun bawak Ita balik. Sampai rumah ni tadi dalam pukul 1200. Bapak kata kat Ita, kita sahur je lah Ta….Bapak penat nak bangun besok…Ita kata, “Ita pun penatlah Pak. Esok pagi malas nak sahur.”
“Tengah makan tu, Ita cerita kat Mak apa yang Abang buat seharian tadi. Ketawa-ketawa Mak dengar.”
“Habis je makan, talipon bunyi. Bapak dah terasa semacam. Bila Bapak angkat, suara Abang Husin….dia kata…”dah pergi”.
“Ita perasan yang Bapak langsung tak kata apa-apa. Sebab Bapak letak talipon lepas tu Bapak duduk kat kerusi ni. Serta merta Ita meraung. Mak yang tengah buai Akmal pun terus meraung…..”
Bapak bercerita sambil mengesat airmata, meneguk air liur dan teresak-esak. Ita dan Mak yang mendengar terus-terusan menangis.
“Sekarang ni Abang kat mana, Pak?” tanya suamiku.
“Dah dalam perjalanan dah. Kereta jenazah hospital hantar nanti.”
Seketika kemudian, rumah Mak dipenuhi dengan jiran tetangga dan saudara-mara yang datang entah dari mana. Hatiku sudah pergi jauh…..Aku rasa tangisanku lebih panjang dari tangisan Ita…isterinya sendiri.
Kira-kira pukul 4 pagi, jenazah tiba di rumah. Aku tatap wajahnya…. Ita membelai-belai tubuh suaminya yang telah kaku…. Abang kelihatan sedang nyenyak tidur dan dia tersenyum….Wajah kacaknya masih kelihatan biarpun dia hanya tinggal jasad tanpa nyawa.
Betullah telahan Bapak. Kami semua tidak bersahur hari itu.
Abang pergi selepas solat taubat….Ini diceritakan oleh Abang Nasir.
“Dia pergi cukup senang. Dia mintak Abang ambikkan dia wudhuk. Lepas tu dia kata nak solat taubat. Lepas salam, dia kata dia nak tidur. Esok pagi dia nak balik. Abang ajar dia mengucap, lepas mengucap dia baca Fatihah…..habis Fati
hah, dia pejam mata….terus……..”
Subhanallah. Mudahnya dia pergi…..
Pagi esoknya, jenazah Abang disempurnakan dan disolatkan di rumah Mak. Selepas disolatkan, keranda kosong dibawa ke atas….
“Cantiknya katil Ayah….” Terdengar suara kecil Akmal yang baru dua tahun….
Kami yang mendengar terus berjuraian airmata. Akmal tidak tahu bahawa keranda itu akan membawa ayahnya pergi jauh darinya, buat selamanya.
Sewaktu van jenazah beredar, aku melihat Amira dan Akmal memeluk Ita sambil memanggil-manggil Ayah mereka. Mak terjelepuk di dapur, nafasnya turun naik dengan kuat. Bapak kelihatan kuat, wajahnya seolah tiada perasaan. Mak Bapak Ita serta Atoknya hanya membisu seribu bahasa…..
Di tanah perkuburan, ratusan manusia membanjiri untuk memberi penghormatan terakhir. Abang disemadikan di sebelah datuk dan nenekku belah Bapak. ‘Rumah’nya di puncak bukit. Begitu tinggi penghargaan buat Abang.
Abang pergi pada usia 31 tahun 10 bulan. Dia meninggalkan isteri, Anita Ahmad, yang baru berusia 28 tahun, dan anak-anak Aina Amira, waktu itu 4 tahun serta Amirul Akmal, 2 tahun, pada malam Jumaat 27 Ramadhan 1414H bersamaan 19 Mac 1994.
Dua bulan selepas pemergian Abang, Ita melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Amirul Afiq.
Setahun selepas pemergian Abang, Bapak diserang penyakit jantung yang menyebabkan dia tidak lagi dapat menikmati hidup seperti biasa. Doktor yang merawatnya berkata, Bapak terlalu bersedih dan murung. Di waktu kami masih bersedih kehilangan Abang, kami hilang Bapak dua tahun kemudian. Emak yang terlalu kecewa dengan dua kehilangan berturut-turut, akhirnya menyusul enam bulan selepas Bapak. Dalam jangkamasa kurang tiga tahun, aku kehilangan Abang, Bapak dan Emak….Separuh jiwaku telah pergi bersama mereka…
Hingga kini, 27 Ramadhan adalah hari yang amat memberi kesan padaku. Ai
rmataku tidak akan berhenti mengalir biarpun ia sudah 16 tahun berlalu.
~ Suria Kelang ~
2250 hrs. 220810, Shah Alam, Malaysia
waahh.. kudos to suria, kelang..
ReplyDeleteShe should be writing novels.
ReplyDeletePp...besarnya hati saya dan terharunya saya dengan kejayaan ini...Terimakasih yang tidak terhingga dan hanya Allah yang mampu membalas kebaikan Pp kepada ssesama insan.
ReplyDeleteSaya doakan Pp dan keluarga dalam peliharaan Allah sentiasa dan semoga dipermudahkan segala urusan Pp walau di mana jua Pp berada.
Saya akan serahkan hadiah yang amat berharga ini kepada kakak ipar saya dan anak-anaknya sebagai hadiah hariraya.... dari Pp.
Berjujuran air mata apabila saya berkesempatan membaca coretan Pn Suria sebentar tadi. Saya mempunyai pengalaman hidup yang hampir serupa, bezanya abang saya masih ada lagi dan hidup serba sederhana di kampung. InsyaAllah saya akan membantu anak2 beliau pula selepas abang saya membiayai persekolahan saya sebelum ini. Pengalaman sebenar adalah pengajaran yang paling berharga dalam kehidupan kita.
ReplyDeleteSungguh menyentuh perasaan..........
ReplyDelete