



"Ramai kan orang mak, nanti kalau Menteri datang mak angkat kita ye, kita nak tenguk dia". Idham tercungap-cungap di antara berjalan dan berlari dalam usaha untuk menyamai langkah ibunya. Jalan tanah merah menghala ke sekolah bertali arus dengan manusia bagaikan himpunan koloni semut merah mengangkat gula ke sarang. Ada yang bersuluhkan lampu, namun yang ramainya hanya berpandukan cahaya bulan yang seolah-olah bersama merayaikan. Idham cuba menghayati langkah pendekar yang berperang menentang penjajah, namun langkahnya kerap sumbang. Dia mampu tersenyum melihat gelagatnya sendiri, berlari anak dan berjalan pantas di pimpin ibu. Keramaian dan kemeriahan warga kampung Kemubu telah dirasai sejak pagi lagi apabila jeep jabatan penerangan Kelantan menghebahkan pengumumam 'Yang berhormat Wakil Rakyat' akan ke padang sekolah rendah di kampung itu malam nanti sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan. Malaysia ketika itu sepuluh tahun merdeka. Bermakna Idham juga sudah sepuluh tahun usia.
Ibu Idham sendiri yang beriya-iya benar ingin membawa Idham ke perayaan kemerdekaan itu. Dan sejak selepas waktu zuhur sebaik Idham pulang dari belajar mengaji Al Qur'an ibu telah bercerita tentang erti kemerdekaan. Cerita ibu bercampur-campur antara kisah kekejaman Jepun, kemudian penjajahan Inggeris dan kemudiannya bagaiman Tunku dan pemimpin negara berjaya mengibarkan bendera negara yang merdeka. Ibu beraksikan laungan Merdeka dengan genggaman tangannya menumbuk udara. Idham mampu mengikuti dan sungguh megah dia ketika itu. Namun ada masanya wajah ibu serius. Di satu ketika, ibu bagaikan menahan airmatanya dari mengalir.
"Masa kita mula-mula merdeka tu mak baru bersalin kan kamu Idham. Umur kamu masa tu tak sampai pun seminggu. Arwah ayah ingin sangat pergi ke padang sekolah lama tu bersama orang ramai sama-sama menyambut hari pertama kemerdekaan. Tapi sebab dia tak mahu meninggalkan kamu, ayah tidak pergi. Siang malam dia asyek menatap wajah kamu saja. Katanya, dah lama dia menunggu anak lelaki." Ibu Idham menjadi hiba ketika mencerita tentang ayahnya. Namun dia menyambung......"Selepas itu itu setiap kali perayaan menyambut kemerdekaan, arwah ayah kamu tidak ketinggalan membawa kamu ke padang sekolah. Sehinggalah dia jatuh sakit.....dan pergi buat selamanya. Waktu itu kamu masih kecil ...."
Idham terkebil-kebil mendengar cerita tentang ayah yang dia sendiri hanya kenali melalui dua nesan yang kaku.
Pernah dia bertanya kepada ibu, "Mak, mak rasa ayah tahu ka kita datang ke kubur dia?"
Namun bila dia melihat yang ibunya sebak dengan pertanyan seperti itu, Idham tidak mengulangi lagi.
Setiba mereka ke pintu pagar kawasan sekolah yang baru saja di beri cat baru, keadaan sudah sesak. Kedengaran nyanyian lagu2 patriotik dari corong pembesar suara. Langkah kecil Idham semakin bersemangat ingin ke depan. Ibu hanya mengikut tarikan dari Idham, namun orang ramai yang berpusu-pusu menyukarkan pergerakan mereka.
Idham melonjak-lonjak ingin melihat apa yang berlaku di atas pentas. Hatinya begitu cemburu dengan rakan-rakan sebaya yang duduk di atas bahu bapa masing-masing bertepuk-tepuk dengan kegembiraan. Idham merenung ibunya, namun dia sendiri tahu jawapannya - tidak mungkin!.
Bagaikan mengerti keinginan Idham, seorang ibu melutut dan meminta anak kecilnya menaiki bahunya. Namun Idham cuma mampu mengeleng-ngeleng, sambil memeluk dan mencium pipi ibunya. Pipi yang telah pun di basahi airmata kecintaan seorang ibu. Airmata yang begitu ingin memberi kekuatan seorang ayah yang telah tiada kepada anak kecil nya.
Anak dan ibu berpelukan di dalam kesamaran malam. Idham berbisik, "Ibu jangan nangis bu.....Idham tak tenguk pun tak ape.....nanti Idham dah besar nanti Idham dapat datang tenguk lagi".
Malam ini, Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke lima puluh. Malam ini, jauh di perantauan Idham terlonjak-lonjak ingin bersama merayakan. Malam ini jiwanya meronta ingin bersama, seperti janji nya kepada arwah ibunda. Malam ini dia mengingati betapa ayahnya dulu mementingkan untuk bersamanya dan ibu, dari menjejaki malam untuk ke perayaan. Malam ini, hatinya tersentuh mengingati arwah ibu tercinta....masih terasa kehangatan air mata yang membasahi pipi ibu empat puluh tahun lampau. Malam ini, dia juga tidak ke mana-mana - hanya dalam samar malam dari kamar yang sudah sepi, dia sujud mengingati kedua ibu dan ayah. Dia ingin bersama mereka. Malam ini......pipinya juga basah dengan air mata rindu dan kasih yang tak dapat di bayangkan dengan kata-kata. Inilah anugerah kemerdekaan untuk dirinya.....Inilah kemerdekaan yang dia sendiri rasakan, impian ibu dan ayahnya dari dulu......Doa dari seorang anak yang terus merindui......
Kemerdekaan itu milik dan anugerah kita untuk diri sendiri. Tiada siapa lagi yang boleh menjajah kita kecuali kita sendiri.....dan tiada siapa juga yang boleh memerdekaan kecuali dari hati yang sudah mengerti apa itu kemerdekaan untuk diri sendiri!
Tahun lepas, catitan aku mengenai Kemerdekaan ada di-sini! pun di tulis dalam bahasa melayu.